Pas Marang

Sejarah Kepimpinan PAS Kawasan Marang

Perubahan dalam struktur persempadanan kawasan pilihanraya yang membawa kepada terbentuknya Parlimen Marang secara automatik memerlukan sebuah organisasi khusus yang mentadbir parti di peringkat parlimen. Maka pada 22 Jamadil Akhir 1405 bersamaan 14 Mac 1985, seramai 207 orang perwakilan dari 51 cawangan hadir ke mesyuarat di Masjid Rusila bagi membentuk Jawatankuasa Penaja PAS Kawasan Marang.

Penubuhannya disempurnakan oleh Naib Yang Di Pertua Agong PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Jawatankuasa Penaja PAS Kawasan Marang yang dibentuk diketuai oleh tokoh politik PAS yang tidak asing lagi iaitu Haji Mustafa Ali sebagai Yang Di Pertua. Beliau dibantu oleh Haji Mokhtar Mohamad sebagai Naib Yang Di Pertua, Haji Hussein Ismail (Setiausaha), Haji Abdul Wahab Salleh (Bendahari), Mohd Said Othman (Ketua Pemuda), serta Hajjah Aisyah Awang (Ketua Muslimat).

Tuan Haji Mustafa menerajui PAS Kawasan selama dua penggal (1985 hingga 1989). Mulai tahun 1989 Ustaz Kassim Ahmad pula memikul amanah mengetuai kepimpinan PAS Kawasan (1989–2003), diikuti Ustaz Mohd Hassan Salleh (2003 hingga sekarang).

Mohd Said mengetuai Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) selama sepenggal sebelum diambilalih oleh Cikgu Hussein bin Ismail (198-1989), diikuti Zakaria bin Deraman (1989-1991). Yahaya Ali meneruskan kesinambungan kepimpinan Pemuda untuk dua penggal berikutnya (1991-1995), diikuti Zaihan Daud (1995-99), Abd. Haris Malik (1999-2001) sebelum diambilalih oleh Cikgu Hassan bin Jusoh (2001-2003), Ustaz Ahmad Maarof bin Ismail (2003-2005) dan Haji Sidik bin Abu Bakar (2005-sekarang).

Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang pula diterajui oleh Hajjah Aisyah binti Awang selama empat penggal iaitu dari tahun 1985 hingga 1993 sebelum diambil alih oleh Hajjah Aidah binti Abdullah (1993-95) dan Puan Zairani binti Othman (1995-sekarang).

Semenjak penubuhannya, PAS Kawasan Marang telah mengalami perkembangan yang amat membanggakan. Bermula dari 51 cawangan di awal penubuhan, pertumbuhan cawangan-cawangan baru begitu pesat sehinggalah menjadi 83 cawangan.

PAS Kawasan Marang sering menjadi tumpuan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar Terengganu. Kekuatan PAS Kawasan banyak bertunjangkan kepada ketokohan ulama terkenal Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kemunculan Tuan Guru yang mula terlibat secara langsung dalam gerakan PAS di Terengganu pada akhir 1970-an telah banyak membantu membawa PAS Kawasan Marang ke tahap yang amat membanggakan.

Kemunculan beliau menjadikan Masjid Rusila sebagai institusi yang penting dalam menggerakkan PAS di Terengganu khususnya dan Malaysia amnya. Setiap hari Jumaat, Masjid Rusila menjadi tumpuan kunjungan ribuan manusia dari dalam dan luar Terengganu yang datang mengikuti kuliah Tuan Guru. Bukan itu sahaja, Masjid Rusila yang terletak dalam Kawasan Marang sering menjadi tuan rumah aktiviti parti peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada 26 September 1986 dan 10 hingga 12 Jun 1994 Masjid Rusila dijadikan lokasi Muktamar Tahunan PAS Pusat. Pada 9 dan 10 September 1988 ia menjadi tuan rumah Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah iaitu perhimpunan yang melibatkan kepimpinan gerakan-gerakan Islam dari seluruh dunia. Acara yang sama diadakan kali kedua pada 30 dan 31 Ogos 1993.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top