Pencapaian dalam pilihanraya bagi PAS Kawasan Marang juga adalah yang terbaik berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Sejak dikenali DUN Marang lagi PAS telah memenangi beberapa kali pilihanraya bagi DUN berkenaan. Antara yang pernah menjadi wakil rakyat PAS di DUN Marang ialah Mohd Taib Sabri (1959) dan Ustaz Kassim Ahmad (1974). PAS tewas di Marang pada 1978 tetapi dirampas kembali pada 1982 melalui calonnya Haji Abdul Hadi Awang.
Pada pilihanraya 1986 iaitu setelah dibentuk Parlimen Marang PAS hanya memenangi DUN Ru Rendang (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang). Pilihanraya tahun 1990 berlaku peningkatan yang memberangsangkan yang mana PAS buat pertama kali berjaya menawan Parlimen Marang melalui Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang turut memenangi DUN Ru Rendang. PAS turut berjaya merampas DUN Bukit Payong melalui calonnya Ustaz Baharuddin Mohamad. Namun begitu kerusi tersebut berjaya dirampas kembali oleh Barisan Nasional melalui pilihanraya kecil pada 21 April 1992.
PAS masih mengekalkan kemenangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang dan DUN Ru Rendang pada pilihanraya tahun 1995 di samping berjaya merampas DUN Alor Limbat melalui calonnya Yahaya Ali. Kemuncak kejayaan PAS di Kawasan Marang ialah kejayaan menguasai kesemua DUN dan Parlimen Marang dalam pilihanraya umum 1999 dengan majoriti yang besar sekaligus turut merampas Negeri Terengganu dari tangan BN. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengekalkan kerusi Parlimen Marang dan DUN Ru Rendang, manakala Yahaya Ali (DUN Alor Limbat), Haji Mustafa Ali (DUN Pengkalan Berangan) dan Ustaz Hassan Salleh (DUN Bukit Payong).