VISI PAS KAWASAN MARANG:
Menjadi model kawasan terbaik dalam pengurusan parti dan penyempurnaan agenda Kerajaan Negeri Terengganu
Latar Belakang Penubuhan:
PAS Kawasan Marang ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 1985, hasil persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada tahun tersebut yang mewujudkan Parlimen Marang. Ia mengandungi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Serada, Bukit Payong, Ru Rendang dan Binjai.
Sebelum daripada itu, Marang hanyalah sebuah kawasan DUN yang terletak di dalam Parlimen Dungun. Pembentukan Parlimen Marang melibatkan kewujudan dua kawasan DUN baru iaitu DUN Serada dan Ru Rendang. Sementara DUN Binjai (sehingga 1986) sebelum itu berada di bawah kawasan Parlimen Hulu Terengganu. Manakala DUN Bukit Payong pula di bawah Parlimen Kuala Nerus.
Sejarah kepimpinan
Perubahan dalam struktur persempadanan kawasan pilihanraya yang membawa kepada terbentuknya Parlimen Marang secara automatik memerlukan sebuah organisasi khusus yang mentadbir parti di peringkat parlimen. Maka pada 22 Jamadil Akhir 1405 bersamaan 14 Mac 1985, seramai 207 orang perwakilan dari 51 cawangan hadir ke mesyuarat di Masjid Rusila bagi membentuk Jawatankuasa Penaja PAS Kawasan Marang.
Penubuhannya disempurnakan oleh Naib Yang Di Pertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Jawatankuasa Penaja PAS Kawasan Marang yang dibentuk diketuai oleh tokoh politik PAS yang tidak asing lagi iaitu Haji Mustafa Ali sebagai Yang Di Pertua. Beliau dibantu oleh Haji Mokhtar Mohamad sebagai Naib Yang Di Pertua, Haji Hussin Ismail (Setiausaha), Haji Abdul Wahab Salleh (Bendahari), Mohd Said Othman (Ketua Pemuda), serta Hajah Aisyah Awang (Ketua Muslimat).
Semenjak penubuhannya, PAS Kawasan Marang telah mengalami perkembangan yang amat membanggakan. Bermula dari 51 cawangan di awal penubuhan, pertumbuhan cawangan-cawangan baru begitu pesat sehinggalah menjadi 83 cawangan.
PAS Kawasan Marang sering menjadi tumpuan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar Terengganu. Kekuatan PAS Kawasan banyak bertunjangkan kepada ketokohan ulama terkenal Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kemunculan Tuan Guru yang mula terlibat secara langsung dalam gerakan PAS di Terengganu pada akhir 1970-an telah banyak membantu membawa PAS Kawasan Marang ke tahap yang amat membanggakan.
Kemunculan beliau menjadikan Masjid Rusila sebagai institusi yang penting dalam menggerakkan PAS di Terengganu khususnya dan Malaysia amnya. Setiap hari Jumaat, Masjid Rusila menjadi tumpuan kunjungan ribuan manusia dari dalam dan luar Terengganu yang datang mengikuti kuliah Tuan Guru. Bukan itu sahaja, Masjid Rusila yang terletak dalam Kawasan Marang sering menjadi tuan rumah aktiviti parti peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada 26 September 1986 dan 10 hingga 12 Jun 1994 Masjid Rusila dijadikan lokasi Muktamar Tahunan PAS Pusat. Pada 9 dan 10 September 1988 ia menjadi tuan rumah Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah iaitu perhimpunan yang melibatkan kepimpinan gerakan-gerakan Islam dari seluruh dunia. Acara yang sama diadakan kali kedua pada 30 dan 31 Ogos 1993.
LEGASI KEPIMPINAN PAS KAWASAN MARANG
YANG DIPERTUA
KETUA URUSAN/DEWAN ULAMA’
KETUA DEWAN PEMUDA
DEWAN MUSLIMAT
Penglibatan Pilihan raya
Pencapaian dalam pilihanraya bagi PAS Kawasan Marang juga adalah yang terbaik berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Sejak dikenali DUN Marang lagi PAS telah memenangi beberapa kali pilihanraya bagi DUN berkenaan. Antara yang pernah menjadi wakil rakyat PAS di DUN Marang ialah Mohd Taib Sabri (1959) dan Ustaz Kassim Ahmad (1974). PAS tewas di Marang pada 1978 tetapi dirampas kembali pada 1982 melalui calonnya Haji Abdul Hadi Awang.
Pada pilihanraya 1986 iaitu setelah dibentuk Parlimen Marang PAS hanya memenangi DUN Ru Rendang (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang). Pilihanraya tahun 1990 berlaku peningkatan yang memberangsangkan yang mana PAS buat pertama kali berjaya menawan Parlimen Marang melalui Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang turut memenangi DUN Ru Rendang. PAS turut berjaya merampas DUN Bukit Payong melalui calonnya Ustaz Baharuddin Mohamad. Namun begitu kerusi tersebut berjaya dirampas kembali oleh Barisan Nasional melalui pilihanraya kecil pada 21 April 1992.
PAS masih mengekalkan kemenangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang dan DUN Ru Rendang pada pilihanraya tahun 1995 di samping berjaya merampas DUN Alor Limbat melalui calonnya Yahaya Ali. Kemuncak kejayaan PAS di Kawasan Marang ialah kejayaan menguasai kesemua DUN dan Parlimen Marang dalam pilihanraya umum 1999 dengan majoriti yang besar sekaligus turut merampas Negeri Terengganu dari tangan BN. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengekalkan kerusi Parlimen Marang dan DUN Ru Rendang, manakala Yahaya Ali (DUN Alor Limbat), Haji Mustafa Ali (DUN Pengkalan Berangan) dan Ustaz Hassan Salleh (DUN Bukit Payong).
(Catatan: Rencana ini adalah petikan dan olahan semula berdasarkan tulisan bertajuk “Sejarah PAS Marang” oleh PAS Kawasan Marang sempena Sambutan Jubli Emas PAS Peringkat Kawasan Marang pada 23 Jun 2001. Beberapa fakta terkini adalah dirujuk kepada rencana Tuan Guru Abdul Hadi Penyuntik Semangat PAS Marang tulisan Azmi Yusof (2006).)